Rukun-Rukun Islam.

   
Bab 2
{Islam}




Islam(Syari’ah)
Islam dari sudut bahasa bermaksud - menyerahkan diri.
Islam dari sudut istilah bermaksud – menundukkan diri kepada hukum syara’.

Seseorang manusia itu sah Islamnya apabila:-
a)     Berakal.
b)    Baligh.
c)     Ikhtiar sendiri – yakni seseorang itu mengakui keIslaman dirinya tanpa dipaksa atau dengan kerelaan hati sendiri.
d)    Bertutur atau yakin akan kebenaran dua kalimah syahadah – yakni yakin akan hanya Allah sebagai Tuhan yang tunggal dan wujud, yang menguasai sekalian alam, dan Nabi Muhammad pula sebagai utusanNya yang benar.
e)     Mualat antara dua kalimah syahadah.

Setiap sesuatu semestinya mempunyai rukun, maka rukun Islam itu ada lima perkara:-
1)    Mengucap dua kalimah syahadah -  iaitu penyaksian sepenuh hati daripada seseorang akan wujudnya Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruhNya dengan mengucapkan:
لا اله الا الله و محمد رسول الله اشهد ان yang bermaksud “Aku naik saksi bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah, dan Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah”, ataupun semakna dengannya.

2)    Menunaikan solat lima waktu berterusan.
Ø Solat dari segi bahasa ialah Do’a.
Ø Solat dari segi istilah ialah beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dari ucapan takbir "الله اكبر" dan diakhiri oleh salam"السلام عليكم" .

3)    Mengeluarkan zakat apabila cukup hisab.
Ø Zakat dari segi bahasa ialah menyuburkan dan menyucikan.
Ø Zakat dari segi istilah ialah nama bagi perbuatan mengeluarkan harta, ataupun binatang.



4)    Berpuasa di bulan Ramadhan.
Ø Puasa dari segi bahasa ialah menahan diri.
Ø Puasa dari segi istilah ialah menahan diri daripada lapar dan dahaga, bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

5)    Menunaikan haji bagi yang mampu.
Ø Haji dari segi bahasa ialah menziarahi Ka’abah
Ø Haji dari segi istilah ialah qasad menuju Baitullah dengan niat ibadah pada bulan-bulan tertentu dengan syarat-syarat tertentu.
Adapun syarat kemampuan mengerjakan Haji ini adalah:-
a)     Berkemampuan dari segi harta dan harta itu halal.
b)    Berkemampuan dari segi kenderaan.
c)     Berkemampuan dari segi kesihatan.
d)    Berkemampuan dari segi ilmu.


Allahua’lam bis sowab~


Bersambung...

Beriman Kepada Qadar Baik dan Buruk DaripadaNya

Sambungan...
  
F)   Beriman kepada Qadar baikNya dan burukNya.

Sabda Baginda s.a.w.:
قال: "أن تؤمن بالله، وملائكته، وكتبه، ورسله، واليوم الآخر. وتؤمن بالقدر خيره وشره"
Maksudnya:
“Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk”.
(Riwayat Imam Muslim)

Beriman kepada QadarNya bermaksud kita percaya dan menerima setiap apa yang berlaku ke atas diri kita ini sebagai ketentuan dan ketetapan Allah. Setiap apa yang dikerjakan oleh manusia di dalam aktiviti harian, secara haqiqatnya adalah berdasarkan ketentuan Allah. Setiap makhluk, telah dicatatkan oleh Allah akan rezekinya, ajalnya, amalannya, kesudahan kehidupannya di dalam husnul khatimah, ataupun suul khatimah. Segalanya telah dicatatkan oleh Allah mengikut kehendakNya.

Sabda Baginda s.a.w. lagi dalam menjelaskan ketetapan Allah s.w.t.:
ثم يرسل الملك فينفخ فيه الروح. ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه، وأجله، وعمله، وشقي أو سعيد. فو الله الذي لا إله غيره! إن أحدكم ليعمل بعمل أهل الجنة حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع. فيسبق عليه الكتاب. فيعمل بعمل أهل النار. فيدخلها. وإن أحدكم ليعمل بعمل أهل النار. حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع. فيسبق عليه الكتاب. فيعمل بعمل أهل الجنة. فيدخلها
Maksudnya:

“...Kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga”.

(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Baginda s.a.w.:
قلوب بنى آدم بين أصبعين من أصابع الرحمن عز وجل كقلب واحد يصرفه كيف يشاء. ثم قال: يا مصرف القلوب ثبت قلبي على طاعتك
Maksudnya:
“Hati anak-anak Adam di antara dua jari ar-Rahman seperti hati yang satu, Dia merubahnya sebagaimana yang dikehendakiNya. Kemudian Rasulullah berdo’a: Wahai Tuhan yang memperbalikkan hati-hati, tetapkanlah hati-hati kami di atas keta’atan kepadaMu”.
(Riwayat Imam Muslim)

Adapun dalam perkara ikhtiar, Allah memberikan kita akan aqal fikiran, yang mana untuk kita membezakan sesuatu perbuatan itu baik atau buruk, dan memikirkan implikasi terhadap diri dan sekeliling supaya kita dapat menjalankan kehidupan di dunia ini dengan baik dengan kemampuan tawakkal yang Allah ‘azza wajalla berikan kepada setiap hambaNya.


Allahua’lam bis sowab~

Bersambung....

Beriman Kepada Hari Akhirat

Sambungan...

E)               Beriman kepada Hari Akhirat.

Firman Allah s.w.t.:
وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ ﴿٤﴾
Maksudnya:
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya)”.
(Surah al-Baqarah: 4)

Sabda Rasulullah s.a.w.:
أن تؤمن بالله، وملائكته، وكتبه، ورسله، واليوم الآخر.
Maksudnya:
“…(lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat…”
(Riwayat Imam Muslim)

Hari akhirat adalah termasuk dalam perkara sam’iyat, yang dikhabarkan kepada kita oleh semua pesuruhNya. Hari akhirat ialah hari yang akan dihadapi oleh seluruh manusia. Hari di mana manusia akan dibangkitkan dari perkuburan masing-masing dengan kekuasaan Allah s.w.t. dan melalui Padang Mahsyar yang penuh ujian yang genting dan perit, kemudiaannya  manusia akan dihitung akan amalannya masing-masing, diadili di Mahkamah Agung yang dihakimi sendiri oleh Allah Yang Maha Perkasa. Kemudiannya bagi mereka yang bahagia dan baik hisapannya, akan ditempatkan di Syurga dan mendapat redha Allah. Bagi golongan yang buruk amalannya, yang tidak mendapat pengampunan Allah, akan ditempatkan di dalam neraka sebagai tempat balasan atas perbuatan mereka sendiri di atas muka bumi. Di sana tiada lagi masa untuk beramal, semuanya dihakimi atas kehendak Allah, tiada masa lagi untuk menyesal, semua manusia akan merasai kehebatan Allah yang Agung. Kita semua akan melutut di hadapan kebesaranNya dan tidak terlepas setiap manusia merasai kehebatan kerajaan Allah yang tiada terbayang difikiran kita.

Firman Allah s.w.t.:
كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ ۖ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ ﴿٢٨﴾
Maksudnya:
“Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)”.
(Surah al-Baqarah: 28)

Walaupun perkara seperti ini adalah perkara ghaib, yang tidak diketahui keadaan sebenarnya dan bila akan berlaku, akan tetapi perkara ini adalah perkara yang berkaitan keimanan dan kepercayaan seseorang terhadap apa yang dikhabarkan kepada kita melalui lisan pesuruhnya dan juga tercatat di dalam al-Quran.


Allahua’lam bis sowab~

Bersambung...

Beriman Kepada Pesuruh Allah s.w.t.(Sambungan 2)

Sambungan...

            Setiap muslim mestilah mengetahui tentang Nabi Muhammad s.a.w. sebagai bukti kita mengikuti ajaran Baginda s.a.w.  Baginda s.a.w. bernama Muhammad ibn ‘Abdullah dan berikut adalah sejarah ringkas berkenaan Baginda s.a.w.:-
Ø Salasilah Baginda s.a.w. daripada sebelah bapa ialah, ‘Abdullah ibn ‘Abdul Mutallib ibn Hasyim ibn Abdul Manaf ibn Kusyai ibn Kilab.
Ø Salasilah Baginda s.a.w. daripada sebelah ibu ialah Siti Aminah binti Wahab ibn ‘Abdul Manaf ibn Zuhrah ibn Kilab.
Ø Baginda s.a.w. dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun gajah.
Ø Bapa Baginda s.a.w. diwafatkan ketika sebelum kelahiran Nabi dan Ibu Baginda s.a.w. wafat ketika Nabi berumur 6 tahun.
Ø Adalah Baginda ketika kecilnya s.a.w. disusui oleh Ibunya s.a.w., selepas itu Aslamiyah Suhaibah, kemudiannya Halimatul Sa’diah sehingga Nabi s.a.w. berumur 4 tahun.
Ø Baginda s.a.w. pernah bermusafir ke Syam(Syria) sebanyak dua kali dalam hidup Baginda.
a)     Yang pertama ketika berumur 9 tahun, Baginda mengikuti datuk Baginda, Abu Talib, sendiri pergi ke Syam untuk berniaga. Dalam perjalanan rombongan Baginda, awan sentiasa meneduhi Baginda daripada cuaca panas terik. Sampainya di tengah perjalanan, iaitu di Busra, seorang rahib(paderi) yang bernama Buhaira menyaksikan peristiwa itu. Beliau adalah seorang paderi yang sentiasa menunggu kelahiran Utusan Terakhir s.a.w. dan sentiasa menjamu rombongan-rombongan yang melalui kawasannya demi mencari Utusan Terakhir s.a.w. tersebut. Sampainya Rombongan Baginda ke gereja itu, rombongan Baginda dijamu dengan pelbagai makanan, akan tetapi Baginda hanya makan sedikit selepas disuruh sendiri oleh Buhaira. Beliau kemudiannya melihat dibelakang Baginda s.a.w. terdapat tanda “Khatamun Nubuwwah” lalu mengetahui bahawa Bagindalah Utusan Allah yang terakhir seperti yang dicatatkan dalam kitab Taurat dan Injil. Lalu beliau memberitahu akan Abu Talib bahawa jangan dibawa Baginda s.a.w. ke Syam kerana disana terdapat golongan rahib yang ingin membunuh akan Baginda s.a.w. Akhirnya rombongan Abu Talib tersebut membatalkan perjalanan mereka ke Syam lalu berpatah kembali ke Makkah demi keselamatan Baginda.
b)    Yang Kedua, ketika Nabi berusia 25 tahun. Baginda ketika itu dilantik sebagai pembantu kepada Sayidatina Khadijah yang menjadi saudagar wanita yang amat kaya di Makkah. Oleh kerana kepercayaan beliau terhadap Baginda s.a.w. yang dikenali penduduk ‘arab dengan gelaran “al-amin”, maka beliau mengutuskan Baginda s.a.w. sambil ditemani oleh Maisarah untuk berniaga di Syam. Apabila pulangnya Baginda s.a.w. ke Makkah, Baginda s.a.w. membawa keuntungan jualan yang amat lumayan.
Ø Selepas dua bulan kepulangan Baginda s.a.w., lalu Sayidatina Khadijah melamar Nabi Muhammad s.a.w. dan bernikah dengan Baginda s.a.w. Walaupun beliau seorang janda dan berumur 40 tahun, akan tetapi beliau mempunyai rupa paras yang amat cantik bagaikan gadis belasan tahun, akhlak yang begitu tinggi, dan kekayaan yang melimpah ruah. Sampainya umur Nabi 40 tahun, Baginda s.a.w. amat gemar untuk berkhalwah(bersendirian) di Gua Hira’ dan sekitar kawasan Makkah untuk beribadat kepada Allah. Nabi kemudiannya mendapat beberapa alamat keNabian yang berupa mimpi, dan akhirnya datanglah Malaikat Jibril menyampaikan wahyu kepada Baginda. Maka bermulalah risalah Baginda s.a.w. menyampaikan ajaran keTauhidan, mendidik masyarakat jahiliyyah dengan akhlak yang agung, menjadikan manusia tinggi martabatnya.
Ø Pada awal dakwah Baginda, Baginda s.a.w. berdakwah secara rahsia, kepada keluarga, sahabat terdekat, dan golongan hamba. Kemudiannya apabila jumlah orang beriman makin meningkat, maka diperintahkan Allah supaya berdakwah secara terang-terangan dan bermula penentangan golongan kafir Quraisy secara kuat terhadap Nabi s.a.w.
Ø Lalu apabila keadaan orang beriman bahaya kerana sentiasa diancam, ditambah pula selepas kewafatan isteri, dan datuk tercinta, Nabi s.a.w. memerintahkan orang beriman supaya berhijrah ke Habsyah. Kemudiannya diperintahkan Allah untuk berhijrah ke Madinah.
Ø Di Madinah, Baginda s.a.w. diangkat menjadi pemimpin, dan memimpin masyarakat Madinah ke arah kemajuan rohani dan jasmani. Kemudian da’wah Baginda s.a.w. berkembang dan berkembang ke seluruh pelusuk Tanah Arab dan berduyung-duyung manusia memeluk Islam yang suci.

v Sepanjang hayat Baginda s.a.w., Baginda mempunyai isteri seramai 12 orang iaitu:-
1)    Sayidatina Khadijah.
2)    Sayidatina Zainab binti Khuzaimah.
3)    Sayidatina ‘Aisyah binti Abu Bakar as-siddiq.
4)    Sayidatina Sa’udah binti Zam’ah.
5)    Sayidatina Hafsah binti Umar al-Khattab.
6)    Sayidatina Maimunah binti al-Harith.
7)    Sayidatina Ummu Habibah binti Abu Sufyan.
8)    Sayidatina Zainab binti Jahsyin.
9)    Sayidatina Ummu Salamah.
10)  Sayidatina Juwariyyah binti al-Harith bin ad-Dhirar.
11)  Sayidatina Safiyyah binti Huyai.
12)  Sayidatina Mariah al-Qibtiyyah.

v Baginda juga mempunyai seramai 7 orang anak, iaitu:-
1)    Sayidina Qassim(dari Siti Khadijah).
2)    Sayidina Ibrahim(dari Mariah al-Qibtiyyah).
3)    Sayidina ‘Abdullah(dari Siti Khadijah).
4)    Sayidatina Zainab(dari Siti Khadijah).
5)    Sayidatina Ruqaiyyah(dari Siti Khadijah).
6)    Sayidatina Ummu Kalsom(dari Siti Khadijah).
7)    Sayidatina Fatimah az-zahrah(dari Siti Khadijah).
                  *kesemua anak lelaki Baginda s.a.w. wafat ketika waktu kecil lagi.

v 10 Sahabat Baginda s.a.w. yang dijanjikan Syurga, iaitu:
1)    Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq R.A.
2)    Sayyidina Umar ibn Khattab R.A.
3)    Sayyidina Uthman ibn ‘Affan R.A.
4)    Sayyidina ‘Ali ibn Abi Talib Karamallahu Wajhah R.A.
5)    Sayyidina Abu Talhah ibn ‘Ubaidillah R.A.
6)    Sayyidina Zubair ibn Awwam R.A.
7)    Sayyidina Sa’ad ibn Abi Waqas R.A.
8)    Sayyidina Sa’id ibn Zaid R.A.
9)    Sayyidina ‘Abdul Rahman ibn ‘Auf R.A.
10)     Sayyidina Amir ibn ‘Abdullah R.A.

Sepanjang dakwah Baginda s.a.w., Baginda juga pernah menyertai peperangan melawan tentera kafir yang jelas menentang dan menolak Islam. Antara peperangan tersebut adalah:-
1)    Perang Badar.
2)    Perang Uhud.
3)    Perang Khandaq.
4)    Perang Hudaibiyyah.
5)    Perang Pembukaan Kota Makkah(satu-satunya peperangan yang tiada setitik darah tumpah ke atas muka bumi).
6)    Perang Tabuk.
*terdapat 35 peperangan lain yang Nabi tidak sertai akan tetapi Nabi melantik para sahabat sebagai panglima perang, kerana dibimbangi kerajaan Islam Madinah digugat oleh kaum Yahudi yang sentiasa merancang kejahatan terhadap Baginda s.a.w.

Firman Allah s.w.t. untuk mengingatkan manusia:
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ عَلَىٰ فَتْرَةٍ مِّنَ الرُّسُلِ أَن تَقُولُوا مَا جَاءَنَا مِن بَشِيرٍ وَلَا نَذِيرٍ ۖ فَقَدْ جَاءَكُم بَشِيرٌ وَنَذِيرٌ ۗ
Maksudnya:
“Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul kami (Muhammad, s.a.w) yang menerangkan kepada kamu (akan syariat Islam) ketika terputusnya (kedatangan) Rasul-rasul (yang diutus), supaya kamu tidak (berdalih) dengan berkata (pada hari kiamat): Tidak datang kepada kami seorang (Rasul) pun pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran (yang mengingatkan kami). Kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang (rasul) pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran…”
(Surah al-Ma’idah: 19)
Allahua’lam bis sowab¬



Bersambung...

Beriman Kepada Pesuruh Allah s.w.t.(Sambungan 1)

Sambungan...

Tugas Pesuruh Allah ada tiga:
1)    Menyampaikan hukum.
2)    Melaksanakan hukum.
3)    Mentazkiah nufus(tarbiah rohani)

Bilangan Nabi yang diutuskan oleh Allah ke atas muka bumi ini terdapat dua pendapat ulama’:-
1)    124000 orang Nabi.
2)    Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa tiada diketahui akan jumlah Nabi yang dilantik Allah.

Daripada seramai-ramai Nabi yang diutuskan Allah, ada yang dilantik menjadi Rasul. Bilangan mereka pula adalah:-
1)    313 orang Rasul.
2)    315 orang Rasul.
3)    Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa tiada diketahui akan jumlah sebenar Rasul yang dilantik Allah.

Dan daripada sejumlah ramai Rasul Allah di atas muka bumi, manusia yang sudah baligh dan berakal hanya wajib mengetahui 25 orang Rasul sahaja, iaitu:-
a)     Nabi Adam (Abu Basyar) a.s.
b)    Nabi Idris a.s.
c)     Nabi Nuh a.s.
d)    Nabi Hud a.s.
e)     Nabi Salleh a.s.
f)      Nabi Ibrahim (Khalilullah) a.s.
g)     Nabi Luth a.s.
h)    Nabi Isma’il a.s.
i)       Nabi Ishak a.s.
j)       Nabi Ya’kub a.s.
k)     Nabi Yusuf a.s.
l)       Nabi Ayyub a.s.
m)  Nabi Syu’ib a.s.
n)    Nabi Musa (Kalamullah) a.s.
o)    Nabi Harun a.s.
p)    Nabi Zulkifli a.s.
q)    Nabi Daud a.s.
r)      Nabi Sulaiman a.s.
s)      Nabi Ilyas a.s.
t)      Nabi Ilyasa a.s.
u)    Nabi Yunus a.s.
v)     Nabi Zakaria a.s.
w)  Nabi Yahya a.s.
x)     Nabi Isa (Rohullah) a.s.
y)     Nabi Muhammad s.a.w(Abu Arwah, khatamul anbiya’, dan semua gelaran Nabi-Nabi lain adalah gelaran Baginda s.a.w. juga)

Daripada 25 orang Rasul di atas, terdapat segelintir Nabi yang lebih tinggi darjatnya daripada Nabi-Nabi yang lain, mereka adalah 5 orang Rasul iaitu:-
a)     Nabi Muhammad s.a.w.
b)    Nabi Ibrahim a.s.
c)     Nabi Musa a.s.
d)    Nabi Isa a.s
e)     Nabi Nuh a.s.
*Kelima-lima orang Nabi ini lebih tinggi darjat mereka berbanding Nabi yang lain kerana mereka lebih kuat menerima ujian Allah ketika menyampaikan risalah kepada umat-umat mereka.

            Mereka yang hidup sezaman dengan Nabi Muhammad s.a.w., dan selepas kewafatan Baginda s.a.w. wajib beriman dengan Baginda dan menerima risalah Baginda s.a.w. Ini kerana ajaran Nabi Muhammad s.a.w. lengkap dan penutup segala risalah terdahulu. Ajaran-ajaran Nabi terdahulu, seperti agama Nasrani, agama Yahudi, juga diseru untuk beriman kepada risalah Baginda s.a.w. dan meninggalkan agama anutan mereka, sebagaimana yang telah mereka berjanji kepada Rasul-Rasul mereka.

            Manusia yang hidup di antara Nabi Isa dan Nabi Muhammad dinamakan ahli fitrah, iaitu mereka adalah golongan istimewa yang bebas daripada taklif syara’ dan soalan di Padang Mahsyar. Mereka dikira ahli fitrah kerana zaman mereka itu tidak ada seorang Nabi pun dibangkitkan kepada mereka. Oleh kerana itu mereka di’uzurkan daripada sebarang taklif syara’. Mereka yang sezaman Nabi yang beriman pula, dikenali sebagai Sahabat r.a. Mereka yang hidup selepas kewafatan Nabi dan sempat bertemu sahabat r.a. dinamakan Tabi’en. Manakala yang tidak sezaman dengan para sahabat r.a, tetapi bertemu dengan Tabi’en dinamakan sebagai Tabi’ Tabi’en. Ketiga-tiga zaman ini adalah zaman Islam yang terbaik, dan merupakan umat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling unggul seperti tercatat di dalam al-Quran.


Bersambung...
Perhatian kepada pembaca dan pelawat blog ini sekalian {Segala bahan bacaan yang didapati tidak sesuai dengan kefahaman aqal fikiran para pembaca hendaklah dirujuk kepada ahli kepada ilmu itu supaya mendapat pemahaman yang jelas akan apa yang disampaikan. Sesungguhnya setiap Muslim itu bersaudara, dan saudara sebenar-benarnya tidak akan sampai hati untuk menikam/membidaahkan/menyesatkan saudaranya yang lain semata-mata berlainan fikrah}