Jenazah Dan Hukum Berkaitannya(bahagian 1)

S)   Jenazah.
Firman Allah s.w.t.:
نَحْنُ قَدَّرْنَا بَيْنَكُمُ الْمَوْتَ وَمَا نَحْنُ بِمَسْبُوقِينَ ﴿٦٠﴾
Maksudnya:
“Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan”.
(Surah al-Waqi’ah: 60)

Kematian adalah satu perkara yang pasti berlaku ke atas setiap makhluk Allah yang bernyawa, sama ada tumbuhan, haiwan, dan juga manusia. Kehidupan di dunia bukanlah tujuan yang patut dikejar-kejarkan, akan tetapi, kehidupan di alam selepas kematian adalah suatu perkara yang pasti dan di sanalah kita akan merasai kehidupan yang sebenar-benarnya. Di dunia ini adalah tempat persinggahan sementara kepada manusia, di sini kita disuruh Allah agar mengumpulkan sebanyak amalan yang mungkin, bahkan diutuskan pula Pesuruh Allah, untuk memperingatkan manusia akan alam yang mendatang selepas kematian.
Kematian bermaksud, tamatnya kehidupan berjasad seseorang di dunia, dan berpindah kepada alam barzakh sebelum menempuh hari kebangkitan semula di Padang Mahsyar. Bukanlah kematian itu penghabisan hidup manusia secara mutlak, akan tetapi, cuma sekadar kehidupan jasad kita dihentikan dan berpindah roh kita kepada alam seterusnya. Seseorang yang telah meninggal dunia, dipanggil “mayyit” yang berasal dari kalimah ‘arab, yang bermaksud jenazah. Agama kita mengajar umatnya supaya menghormati mayyit muslim yang lain, dengan adanya hukum-hakam syara’ yang perlu kita tunaikan.

Perkara yang wajib dilakukan terhadap mayyit ada 4:
1)    Wajib dimandikan(melainkan mati syahid).
2)    Mengkafankan mayyit.
3)    Menunaikan solat jenazah ke atas mayyit.
4)    Mengebumikan mayyit tersebut.
*Sekurang-kurang mandi jenazah adalah dengan meratakan air ke seluruh badan mayyit tersebut.
*Sekurang-kurang mengkafankan jenazah adalah dengan menutup seluruh badan mayyit. Untuk mengkafankan jenazah dengan sempurna maka:
        -   Bagi lelaki: dibalut dengan tiga lapisan kain.
        -   Bagi perempuan: dibalut dengan lima lapisan kain.
*Sekurang-kurang kubur untuk ditanamkan mayyit itu adalah dengan lubang yang dapat menghilangkan bau mayyit dan mayyit itu terselamat dari gangguan binatang buas. Untuk kesempurnaan maka, ditanam mayyit itu ke dalam tanah sedalam 4 hasta setengah, ataupun kedalaman sama tinggi dengan orang yang berdiri.
*Ketika diletakkan jenazah ke dalam lubang kubur itu, hendaklah wajah jenazah tersebut diletakkan menghadap kiblat dari sebelah kanan.
*Wajib menggali semula kubur jika:
        -   Mayyit yang ditanam tanpa dimandikan sekiranya belum
berbau(melainkan syahid).
        -   Untuk dibetulkan arah kiblat.
        -   Terdapat harta yang tertanam bersama mayyit.
        -   Apabila diyakini janin berusia 6 bulan ke atas di dalam perut
mayyitah masih hidup.
-      Apabila jenazah muslim ditanam di perkuburan bukan
Islam dan sebaliknya.


Bersambung....

Khutbah


R)Khutbah.

Rukun khutbah ada 5, iaitu:
1)    Memuji Allah pada kedua-dua khutbah(dalam bahasa ‘arab).
2)    Berselawat ke atas Baginda s.a.w. pada kedua-dua khutbah(dalam bahasa ‘arab).
3)    Menyampaikan nasihat supaya bertaqwa kepada Allah.
4)    Membaca ayat Quran yang lengkap, walaupun hanya 1 ayat.
5)    Berdoa kepada seluruh muslimin dan muslimat untuk hari akhirat.

Syarat-syarat khatib(penyampai khutbah) ketika membaca khutbah:
1)       Suci daripada hadath kecil dan besar.
2)       Suci daripada najis pada kotoran, pakaian, dan tempat khutbah.
3)       Menutup ‘aurat.
4)       Berdiri sekiranya mampu.
5)       Duduk antara dua khutbah.
6)       Mu’alat antara dua khutbah.
7)       Mu’alat antara khutbah dan solat Jumaat.
8)       Membaca dalam bahasa ‘arab pada rukun-rukun yang diwajibkan
bahasa arab.
9)       Ma’mum yang mendengar khutbah mestilah cukup 40 orang.
10)  Khutbah dibaca dalam waktu zohor.

Solat Jumaat


Q)Solat Jumaat.
Firman Allah s.w.t.:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu)…”.
(Surah al-Jumaat: 9)

Solat Jumaat merupakan solat yang ditunaikan pada hari Jumaat secara berjemaah dan dibacakan khutbah oleh seorang khatib sebelum menunaikan solat. Ketika waktu inilah, kita dapat melihat seluruh umat Islam berkumpul di dalam masjid di kawasan masing-masing, secara tidak langsung, mereka dapat mendengar peringatan dan sesuatu yang berilmiah yang disampaikan oleh para khatib, dan juga dapat mengeratkan ukhwah di antara sesama muslim.

Syarat solat Jumaat ada 6, iaitu:
1)    Ditunaikan dalam waktu Zohor.
2)    Ditunaikan di dalam binaan, seperti di dalam masjid, dewan besar, kawasan lapang yang berkhemah, dan sebagainya.
3)    Ditunaikan secara berjemaah.
4)    Cukup bilangan 40 orang lelaki yang baligh dan bermastautin.
5)    Tidak terdirinya dua jemaah solat Jumaat di dalam 1 kawasan melainkan terdapat sebab yang mengharuskannya.
6)    Solat ditunaikan selepas selesai khutbah.
*Cara berniat bagi Imam, “Sahaja aku menunaikan solat fardhu Jumaat, imam, dua raka’at, kerana Allah Ta’ala”.
*Cara berniat bagi ma’mum, “Sahaja aku menunaikan solat fardhu Jumaat, mengikut imam, dua raka’at, kerana Allah Ta’ala”.

Jama' Dan Qasar(Sambungan)



Syarat untuk jama’ taqdim(awal) ada 4, iaitu:
1)    Dimulakan dengan waktu pertama.
Contohnya:   Menunaikan Asar dalam waktu Zohor.
2)    Berniat ingin menjama’kan dua waktu solat yang ingin dijama’kan pada solat pertama yang dikerjakan.
*Cara berniat untuk jama’ taqdim ialah ketika dalam solat, seperti, “Aku mahu menunaikan solat(cthnya ‘Asar) dalam waktu zohor” atau seerti dengannya. Manakala cara berniat ketika menunaikan solat waktu kedua(selesai solat waktu pertama) ialah, “Sahaja aku mengerjakan solat fardhu (cthnya ‘asar) dalam waktu Zohor, jama’ taqdim, empat rakaat kerana Allah Ta’ala” ataupun seerti dengannya.
3)    Mu’alat, iaitu berterusan menunaikan solat yang dijama’kan tanpa berhenti yang lama di antara dua solat itu.
4)    Mengetahui ilmu berkenaan ibadat ketika musafir.

Syarat untuk jama’ taakhir(akhir) ada 2, iaitu:
1)    Berniat untuk mengakhirkan solat pada waktu yang kedua pada waktu solat yang pertama.
Contohnya:   Berniat ketika waktu Zohor untuk menunaikan solat
                         Zohor di dalam waktu Asar.
*Cara berniatnya adalah dalam waktu pertama, niatkan, “Aku ingin menunaikan solat (cthnya Zohor) dalam waktu (cthnya ‘Asar)” atau seerti dengannya. Kemudian ketika mahu menunaikan solat yang dia niatkan untuk jama’ taakhir tadi, niatkan, “Sahaja aku menunaikan solat fardhu (cthnya Zohor) dalam waktu (cthnya ‘Asar), jama’ taakhir, kerana Allah Ta’ala” ataupun seerti dengannya.
2)    Berkekalan uzur, yakni keadaan musafirnya itu sehingga selesai menunaikan solat yang kedua.

Syarat untuk qasarkan solat ada 7, iaitu:
1)    Jarak tempat tuju dari tempat bertolak mencukupi ataupun lebih dari 2 marhalah, iaitu 88 kilometer.
2)    Hendaklah niat musafir pada perkara yang tidak diharamkan.
3)    Mengetahui ilmu berkenaan ibadat ketika musafir.
4)    Berniat qasar ketika takbiratul ihram.
*Cara berniatnya adalah ketika menunaikan solat fardhu yang mempunyai 4 rakaat, ialah, “Sahaja aku menunaikan solat fardhu (cthnya Zohor) dua rakaat, qasar, kerana Allah Ta’ala” ataupun seerti dengannya.
5)    Dibolehkan qasar pada solat yang 4 rakaat sahaja.
6)    Dalam keadaan musafir sehingga sempurna solatnya.
7)    Tidak boleh mengikut imam yang sedang menunaikan solat penuh rakaat.

Syarat untuk jama’(taqdim dan taakhir) yang disertai qasar:
1)    Sama seperti syarat kedua-dua jama’.
*Berbeza dengan kedua-dua jama’, apabila disertai qasar, solat yang mempunyai empat rakaat, boleh dipendekkan kepada dua.
2)    Sama seperti syarat qasar.
Ø Selepas menunaikan solat pertama(bagi jama’ taqdim) yang ditunaikan secara qasar, selepas itu niatkan solat kedua dengan cara, “Sahaja aku menunaikan solat fardhu (cthnya ‘Asar) di dalam waktu (cthnya Zohor) jama’ taqdim serta qasar, dua rakaat kerana Allah Ta’ala” ataupun seerti dengannya.



Bersambung....

Jama' Dan Qasar



P)Jama’ dan Qasar.

Jama’ dan qasar merupakan satu rukhsah(keringanan) untuk menunaikan solat yang diberikan Allah kepada hambaNya yang sedang bermusafir. Ini menunjukkan bahawa solat adalah ibadat yang wajib ditunaikan walau apa keadaan sekalipun, kerana ingin mendidik hambaNya untuk menjadi manusia yang taat, berdisiplin, dan mengajar hambaNya untuk mengingati Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Melihat. Jama’ bermaksud, menghimpunkan dua waktu solat untuk ditunaikan dalam satu waktu atas sebab-sebab tertentu. Manakala qasar pula bermaksud, memendekkan bilangan rakaat solat dari 4 rakaat kepada 2 rakaat dengan sebab-sebab tertentu.

Jumlah hari musafir yang dibenarkan:
1)    3 hari tidak termasuk hari bermulanya dan berakhirnya perjalanan musafir.
2)    Sekiranya tidak mengetahui bila urusan akan selesai, maka dibenarkan untuk jama’ dan qasar  sehingga 18 hari tidak termasuk hari bermulanya dan berakhirnya perjalanan musafir.

Jama’ terbahagi kepada dua:
1)    Jama’ taqdim(awal).
2)    Jama’ taakhir(akhir).

Waktu-waktu yang boleh dijama’:
1)    Zohor dan ‘Asar.
2)    Maghrib dan Isya’.



Bersambung..

Keadaan yang tidak membolehkan ma’mum mengikut imam


Keadaan yang tidak membolehkan ma’mum mengikut imam:
1)    Lelaki mengikut perempuan.
2)    Lelaki mengikut khunsa.
3)    Khunsa mengikut perempuan.
4)    Khunsa mengikut khunsa.

Keadaan yang membolehkan ma’mum mengikut imam


Keadaan yang membolehkan ma’mum mengikut imam:
1)    Lelaki yang mengikut lelaki.
2)    Perempuan yang mengikut lelaki.
3)    Khunsa yang mengikut lelaki.
4)    Perempuan yang mengikut khunsa.
5)    Perempuan yang mengikut perempuan.
 

Bersambung~

Syarat-Syarat Mengikut Imam


Syarat-syarat mengikut imam:
1)    Yakin imam sah solatnya.
2)    Tidak beri’tiqad imam itu wajib mengqadakan semula solatnya.
3)    Imam yang diikuti itu tidak menjadi ma’mum kepada yang lain pada waktu yang sama.
4)    Imam mestilah tahu membaca al-Quran dengan betul dan bertajwid.
5)    Ma’mum tidak mendahului perbuatan imam ketika solat.
6)    Ma’mum tahu pergerakan-pergerakan imam ketika solat.
7)    Jarak antara imam dan ma’mum tidak lebih sekurang-kurangnya 300 hasta.
8)    Ma’mum hendaklah berniat mengikut imam.
9)    Ma’mum yang mengikut imam hendaklah solat yang mempunyai bilangan rakaat yang lebih atau sama dengan imam.
10)  Bersamaan aturan antara imam dan ma’mum.
11)  Tidak menyalahi imam pada perbuatan sunat.
12)  Ma’mum hendaklah mengikut imam.


Bersambung..

adakah boleh sekiranya berpandangan, tidak terbatal wudhuk sekiranya tersentuh bukan mahram walaupun mengikut mazhab syafie, sudah terbatal wudhuk kerana bersandarkan kisah Rasulullah mencium isteri baginda sebelum ke masjid kemudian terus solat di masjid

masalah ini adalah khilaf..dan mengikut kepada tempat@negara kita yang bermazhab syafi'e, mengatakan bahawa batal..
dan para ulama' dari 3 mazhab, iaitu maliki, syafi'e dan hambali mengatakan bahawa apabila bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan ajnabi, maka batal wudu' berdasarkan dalil yang kuat berbanding dengan dalil yang digunakan mazhab hanafi dalam mengatakan tidak batal wudhu'..
maka, perlulah kita menghormati dan berpegang dengan aliran yang majoriti, lebih2 lagi dalam negara kita yang jelas berpegang dgn mazhab syafi'e..dan sekiranya kita mengamalkan sesuatu yang bercanggah dgn pegangan setempat walaupun mempunyai dalil, sebenarnya itu adalah fitnah ke atas kita..
apa salahnya sekiranya kita bersentuh kulit dgn isteri, kemudiannya kita mengambil wudu' semula..bahkan ini lebih baik, iaitu mengambil wudu' berulang-ulang kali, kerana ia adalah antara perkara ibadat yang dituntut..melainkan alasan kita adalah MALAS..
allahua'lam..

Ada Persoalan?

Salamun alaik. Mcam mana caranya nak bagi hujah kpd orang yang mengatakan, " kalau taksub berpegang kpd mazhab Syafie saje, samalah kita macam Syiah. " Sedangkan dia 'kurang' ilmu agama, dan berpegang kepada mazhab lain selain Mazhab Syafie..

waalaikumussalam..
sememangnya taksud itu menjadi kesalahan..
akan tetapi, sekiranya kita bertaklid kepada mazhab syafi'e, bukan bermakna kita taksub..
mereka yang tidak memahami makna sebenar berpegang dengan mazhab, sememangnya mengatakan taksud..
bahkan imam-imam besar yang lain, termasuk imam bukhari sendiri, berpegang kepada mazhab hanafi serta ber'aqidah mengikut method ilmu imam mathuridi..dan ramai lagi seperti imam ghazali yang dikenali sebagai hujjatul islam..
begitu juga tokoh-tokoh sejarah islam, seperti solahuddin al-ayubi, sultan muhammad al-fatih..

bahkan perkara mazhab ini telah wujud sejak zaman sahabat lagi, dimana setiap mereka mempunyai mazhab sendiri tetapi tetap menghormati pandangan sahabat yang lain. kalau kita membuka kitab-kitab fiqh yang besar, kita akan dapati bahawa terdapat nukilan imam-imam besar, seperti, "saya menukilkan pandangan masalah ini dari mazhab sahabat sekian..sekian"..

*begitulah musibah yang berlaku kepada umat islam sekarang ini, yang mana mereka ini cetek ilmu, bila mendengar saja ustaz mereka yang berfahaman serong, lalu mereka terus berpegang dan berhujah macam ahli agama. berani menyalahkan imam2 besar kerana tidak sesuai dengan method mereka..

allahua'lam~

Ada Persoalan?

Solat Yang Wajib Berniat Mengikut Imam


Solat yang wajib berniat mengikut imam:
1)    Jumaat.
2)    Solat ulangan dalam keadaan imam.
3)    Solat jemaah yang dinazarkan.
4)    Jama’ taqdim yang disebabkan hujan.

Bersambung....
Perhatian kepada pembaca dan pelawat blog ini sekalian {Segala bahan bacaan yang didapati tidak sesuai dengan kefahaman aqal fikiran para pembaca hendaklah dirujuk kepada ahli kepada ilmu itu supaya mendapat pemahaman yang jelas akan apa yang disampaikan. Sesungguhnya setiap Muslim itu bersaudara, dan saudara sebenar-benarnya tidak akan sampai hati untuk menikam/membidaahkan/menyesatkan saudaranya yang lain semata-mata berlainan fikrah}