Jenazah Dan Hukum Berkaitannya(bahagian 1)

S)   Jenazah.
Firman Allah s.w.t.:
نَحْنُ قَدَّرْنَا بَيْنَكُمُ الْمَوْتَ وَمَا نَحْنُ بِمَسْبُوقِينَ ﴿٦٠﴾
Maksudnya:
“Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan”.
(Surah al-Waqi’ah: 60)

Kematian adalah satu perkara yang pasti berlaku ke atas setiap makhluk Allah yang bernyawa, sama ada tumbuhan, haiwan, dan juga manusia. Kehidupan di dunia bukanlah tujuan yang patut dikejar-kejarkan, akan tetapi, kehidupan di alam selepas kematian adalah suatu perkara yang pasti dan di sanalah kita akan merasai kehidupan yang sebenar-benarnya. Di dunia ini adalah tempat persinggahan sementara kepada manusia, di sini kita disuruh Allah agar mengumpulkan sebanyak amalan yang mungkin, bahkan diutuskan pula Pesuruh Allah, untuk memperingatkan manusia akan alam yang mendatang selepas kematian.
Kematian bermaksud, tamatnya kehidupan berjasad seseorang di dunia, dan berpindah kepada alam barzakh sebelum menempuh hari kebangkitan semula di Padang Mahsyar. Bukanlah kematian itu penghabisan hidup manusia secara mutlak, akan tetapi, cuma sekadar kehidupan jasad kita dihentikan dan berpindah roh kita kepada alam seterusnya. Seseorang yang telah meninggal dunia, dipanggil “mayyit” yang berasal dari kalimah ‘arab, yang bermaksud jenazah. Agama kita mengajar umatnya supaya menghormati mayyit muslim yang lain, dengan adanya hukum-hakam syara’ yang perlu kita tunaikan.

Perkara yang wajib dilakukan terhadap mayyit ada 4:
1)    Wajib dimandikan(melainkan mati syahid).
2)    Mengkafankan mayyit.
3)    Menunaikan solat jenazah ke atas mayyit.
4)    Mengebumikan mayyit tersebut.
*Sekurang-kurang mandi jenazah adalah dengan meratakan air ke seluruh badan mayyit tersebut.
*Sekurang-kurang mengkafankan jenazah adalah dengan menutup seluruh badan mayyit. Untuk mengkafankan jenazah dengan sempurna maka:
        -   Bagi lelaki: dibalut dengan tiga lapisan kain.
        -   Bagi perempuan: dibalut dengan lima lapisan kain.
*Sekurang-kurang kubur untuk ditanamkan mayyit itu adalah dengan lubang yang dapat menghilangkan bau mayyit dan mayyit itu terselamat dari gangguan binatang buas. Untuk kesempurnaan maka, ditanam mayyit itu ke dalam tanah sedalam 4 hasta setengah, ataupun kedalaman sama tinggi dengan orang yang berdiri.
*Ketika diletakkan jenazah ke dalam lubang kubur itu, hendaklah wajah jenazah tersebut diletakkan menghadap kiblat dari sebelah kanan.
*Wajib menggali semula kubur jika:
        -   Mayyit yang ditanam tanpa dimandikan sekiranya belum
berbau(melainkan syahid).
        -   Untuk dibetulkan arah kiblat.
        -   Terdapat harta yang tertanam bersama mayyit.
        -   Apabila diyakini janin berusia 6 bulan ke atas di dalam perut
mayyitah masih hidup.
-      Apabila jenazah muslim ditanam di perkuburan bukan
Islam dan sebaliknya.


Bersambung....

No comments:

Post a Comment

Perhatian kepada pembaca dan pelawat blog ini sekalian {Segala bahan bacaan yang didapati tidak sesuai dengan kefahaman aqal fikiran para pembaca hendaklah dirujuk kepada ahli kepada ilmu itu supaya mendapat pemahaman yang jelas akan apa yang disampaikan. Sesungguhnya setiap Muslim itu bersaudara, dan saudara sebenar-benarnya tidak akan sampai hati untuk menikam/membidaahkan/menyesatkan saudaranya yang lain semata-mata berlainan fikrah}