Beriman Kepada Kitab-Kitab Allah s.w.t.

Sambungan...




C)               Beriman kepada Kitab-kitab Allah.

Daripada sejumlah ramai Pesuruh Allah yang telah diutuskan, di antara mereka ada yang dikurniakan Kitab sebagai panduan kepada umat Nabi tersebut.
Firman Allah s.w.t.:
وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ ﴿٤﴾
Maksudnya:
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya)”.
(Surah al-Baqarah: 4)


Terdapat 4 buah kitab yang diturunkan Allah kepada 4 orang Rasul iaitu:-
1)                Kitab Taurat – Nabi Musa
2)                Kitab Zabur – Nabi Daud
3)                Kitab Injil – Nabi ‘Isa
4)                Kitab al-Quran – Nabi Muhammad s.a.w.

Kesemua kitab tersebut diturunkan oleh Allah kepada Nabi-Nabi tertentu sebagai panduan kepada Utusan Allah dan juga kepada umat Nabi tersebut. Adapun ketiga-tiga kitab sebelum al-Quran itu kita tidak diwajibkan lagi untuk berpegang dengan isi kandungan kitab tersebut kerana telah diubah suai mengikut selera para ahli kitab mereka.
Firman Allah s.w.t.:
فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَـٰذَا مِنْ عِندِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا ۖ
Maksudnya:
“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: Ini ialah dari sisi Allah, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit”.
(Surah al-Baqarah: 79)

Kita wajib beriman akan kebenaran kitab-kitab tersebut yang asal, akan tetapi,kandungan kitab-kitab yang ada sekarang tidak lagi benar dan kita cukup berpegang dengan kitab al-Quran. Ini kerana kitab al-Quran adalah pelengkap segala kitab terdahulu dan dijamin Allah daripada dicemari dan diubah-ubah oleh manusia yang mengikut hawa nafsu.
Firman Allah s.w.t.:
ذَ‌ٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾
Maksudnya:
“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa”.
(Surah al-Baqarah: 2)

Kitab al-Quran diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai bukti keNabian Baginda s.a.w. dan menjadi hujah kepada seluruh manusia. Di dalamnya terkandung pelbagai ilmu seperti sejarah, ilmu kesihatan dan perubatan, alam sekitar dan sains, perkara masa depan dan ghaib, hukum-hakam syari’ah, ilmu ‘aqidah, akhlak, dan sebagainya. Kitab al-Quran juga mempunyai tatabahasa  ‘arab yang amat tinggi sesuai dengan kedudukan kitab tersebut sebagai kitab yang termulia, sehinggakan dapat mengalahkan syair-syair ‘arab jahiliyyah dan memukau para pembacanya tanpa jemu sepanjang zaman. Inilah kehebatan al-Quran yang diturunkan kepada setinggi-tinggi kemuliaan Nabi s.a.w.

Bersambung....

No comments:

Post a Comment

Perhatian kepada pembaca dan pelawat blog ini sekalian {Segala bahan bacaan yang didapati tidak sesuai dengan kefahaman aqal fikiran para pembaca hendaklah dirujuk kepada ahli kepada ilmu itu supaya mendapat pemahaman yang jelas akan apa yang disampaikan. Sesungguhnya setiap Muslim itu bersaudara, dan saudara sebenar-benarnya tidak akan sampai hati untuk menikam/membidaahkan/menyesatkan saudaranya yang lain semata-mata berlainan fikrah}