Pengenalan







CahayA

PetunjuK


(Menyinari jiwa dengan ‘ilmu dan ‘amaL)



Sekapur siriH

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد الله رب العالمين, والصلاة والسلام على سيد البشر, و خاتم النبين, حبيبنا وشفيعنا محمد ابن عبد الله, البعوث رحمتا للعمين, و على آله وصحبه أجمعين

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian ‘alam, dan selawat dan salam ke atas junjungan penghulu segala manusia, dan penutup segala kenabian, kekasih kami, pengsyafaat kami Muhammad s.a.w. ibn ‘Abdullah, pembawa rahmat kepada seluruh ‘alam, dan ke atas keluarga Baginda s.a.w., dan sekalian Sahabat Baginda s.a.w.

Islam adalah agama rahmat, dan agama fitrah bagi semua manusia. Ajaran Islam telah tersebarnya di atas muka bumi ini seperti tersebarnya keturunan Nabi Adam di seluruh pelusuk muka bumi. Setiap Utusan Allah bermula dengan Nabi Ibrahim a.s. menyebarkan Islam dengan syariat yang berbeza. Hal ini kerana syariat yang diutuskan ke atas suatu kaum, mengikut kesesuaian kaum dan keadaan masa itu.

Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. adalah sebagai penutup kepada risalah keTuhanan, pelengkap syariah dan segala kitab-kitab yang telah diturunkan dahulu. Syariat Nabi Muhammad s.a.w. sesuai sehingga  hari qiamat. Manusia yang hidup sezaman, ataupun selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w  wajib mempercayai dan beriman dengan apa yang disampaikan oleh Baginda s.a.w. Segala agama Samawi yang telah disampaikan Nabi terdahulu telah dimansukhkan kerana Islam dan syariat yang dibawa Baginda s.a.w. lebih sempurna dan sesuai, berpadanan dengan gelaran Baginda s.a.w. sebagai penutup dan penyempurna segala risalah.

Oleh kerana itu, mereka yang melalui zaman risalah Baginda s.a.w. wajib beriman dengan Baginda s.a.w. dan menolak sebarang ajaran yang sesat lagi menyesatkan. Dan perlu pula mereka yang melalui zaman ini, mengetahui akan kandungan asas Agama Islam agar muslim itu berilmu, dan tahu akan perkara yang membatalkan keimanan seseorang muslim. Setiap orang yang telah mencapai akil baligh, wajib mengetahui akan ilmu yang asas ini, yang mana daripada ilmu yang asas ini, akan berkembang menjadi pelbagai cabang ilmu Islam yang seluas lautan.

Adapun asas agama Islam, telahpun diterangkan oleh Baginda s.a.w. dalam hadith yang begitu mahsyur dalam kalangan ulama’ hadith, seperti yang telah diriwayatkan oleh Sayyidina Umar ibn al-Khattab:

عن عمر بن الخطاب، قال: بينما نحن عند رسول الله صلى الله عليه وسلم ذات يوم، إذ طلع علينا رجل شديد بياض الثياب. شديد سواد الشعر. لا يرى عليه أثر السفر. ولا يعرفه منا أحد. حتى جلس إلى النبي صلى الله عليه وسلم. فاسند ركبتيه إلى ركبتيه. ووضع كفيه على فخذيه. وقال: يا محمد! أخبرني عن الإسلام. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "الإسلام أن تشهد أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله صلى الله عليه وسلم. وتقيم الصلاة. وتؤتي الزكاة. وتصوم رمضان. وتحج البيت، إن استطعت إليه سبيلا" قال: صدقت. قال فعجبنا له. يسأله ويصدقه. قال: فأخبرني عن الإيمان. قال: "أن تؤمن بالله، وملائكته، وكتبه، ورسله، واليوم الآخر. وتؤمن بالقدر خيره وشره" قال: صدقت. قال: فأخبرني عن الإحسان. قال: "أن تعبد الله كأنك تراه. فإن لم تكن تراه، فإنه يراك". قال: فأخبرني عن الساعة. قال: "ما المسؤول عنها بأعلم من السائل" قال: فأخبرني عن أمارتها. قال: "أن تلد الأمة ربتها. وأن ترى الحفاة العراة العالة رعاء الشاء، يتطاولون في البنيان". قال ثم انطلق. فلبثت مليا. ثم قال لي: "يا عمر! أتدري من السائل؟" قلت: الله ورسوله أعلم. قال: "فإنه جبريل أتاكم يعلمكم دينكم".
Maksudnya:
Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata: Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak ada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun dalam kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu menyandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau!. Maka kami pun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau!. Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya ia melihatmu. Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda:  Antara tandatandanya (ialah), apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya). Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.
(Hadis riwayat al-lmam Muslim)

Tingkatan ilmu terbahagi kepada dua:
1)    Ilmu fardhu ‘ain – bermaksud ilmu yang wajib diketahui oleh setiap muslim yang telah baligh lagi berakal.
2)    Ilmu fardhu kifayah – bermaksud ilmu yang tidak wajib diketahui oleh setiap individu muslim yang baligh lagi berakal, akan tetapi diwajibkan akan atas segolongan muslim di dalam satu-satu kawasan itu.

Maka ilmu fardhu ‘ain ialah Rukun Islam, Rukun Iman, dan Ihsan. Secara khususnya, ilmu ini terbahagi kepada dua:
1)    Wajib tanpa mengira waktu – seperti mengenal akan Allah dan rukun Iman, ilmu yang mengelakkan pembatalan aqidah, ilmu berkenaan solat, ilmu berkenaan akhlak, dan sebagainya.
2)    Wajib hanya bila sampai waktunya – seperti ilmu berkenaan zakat, haji, umrah, dan sebagainya.

Manakala ilmu fardhu kifayah pula ialah seperti ilmu perubatan, sains, ilmu usul fiqh, ilmu mantik, dan sebagainya. Ilmu yang tergolong dalam bahagian ini adalah tidak wajib diketahui oleh setiap individu muslim, sekiranya telah ada muslim di dalam kawasan itu mempelajari bidang ilmu ini, maka gugurlah kewajipan terhadap muslim yang lain. Akan tetapi, sekiranya dalam satu kawasan itu tiada yang mengetahui, dan mempelajari ilmu ini, maka semua muslim di kawasan itu menanggung dosa.

            Ini menunjukkan Islam amat mementingkan perkembangan ilmu kepada penganutnya, supaya muslim tidak menjadi jahil akan perkara dunia, dan juga perkara akhirat. Oleh kerana itu, Islam pada zaman khalifah terdahulu, memiliki kemajuan ilmu yang lebih jauh ke hadapan berbanding dengan golongan kafir. Sehingga golongan kafir datang ke negara-negara Islam untuk menuntut ilmu daripada orang Islam.

Setiap Muslim hanya diwajibkan untuk mengetahui ilmu-ilmu ini hanya selepas mencapai ‘akil baligh. Adapun risalah ini hanyalah menyentuh berkenaan ilmu fardhu ain, yang mana menjadi kewajipan atas setiap saudaraku mengetahui setiap ilmu asas ini, agar dapat mengetahui perkara yang wajib diketahui, dan dapat memelihara diri daripada perkara yang dapat merosakkan aqidah. Risalah ini juga menghimpunkan tiga buah kitab termuka dalam dunia ilmu Islam iaitu kitab Ummu Barohim(Matan Sanusiyah) karangan Imam Sanusi R.H. bagi ilmu tauhid, kitab Safinatunnaja karangan Sheikh Salim ibn Sumair al-Hadrami R.H. dan Nailu Raja’(Syarah Safinatunnaja) karangan Sheikh Umar ibn Ahmad asy-Syathiri R.H. bagi ilmu fiqh, dan juga kitab Haqaiq ani Tasawwuf karangan Sheikh ‘Abdul Qadir ‘Isa R.H. bagi ilmu tasawuf.

Moga Allah S.W.T. yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang mengampuni dosa penyusun atas segala kekurangan di dalam risalah ini, dan pembaikan serta teguran atas kelemahan risalah ini daripada para ahlinya(moga dirahmati Allah) amatlah dihargai. Semoga risalah ini sama-sama dapat membantu kita menjalani Agama dan berjalan kepadaNya, dan semoga risalah ini menjadi suatu bentuk taqarrub penyusun yang jahil ini dengan penuh kehambaan di hadapan Tuhan yang Maha Kaya lagi Maha Agung.
{سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ}
{Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana}
(Surah al-Baqarah: 32)
Disusun oleh:
مصعب
Allahua’lam bis sowab.


4 comments:

zakir932 said...

assalamualaikum.....

semoga tuan di dalam afiat iman dan tubuh badan dan di berikan kemudahan-kemudahan selama menjadi pembimbing umat...

Ilmu fardhu kifayah – bermaksud ilmu yang tidak wajib diketahui

saya berpendapat jika menggunakan perkataan harus itu lebihlah sedap daripada perkataan tak wajib.... hanyalah pendapat saya...minta maaf yer tuan

Unknown said...

waalaikumussalam ya akhi fillah~

alhamdulillahi wassolatu wassalam 'ala Rasulillah..

syukron atas pendapat yang nta utarakan itu..

ketahuilah wahai saudaraku,
bahawa ilmu fardhu kifayah itu bukanlah hukumnya harus, ianya tetap wajib, sebagai mana namanya "fardhu"=wajib, akan tetapi, "kifayah"=berasal dari perkataan "kafa" yakni cukup.
dengan membawa maksud, ilmu fardhu kifayah ini adalah ilmu yang tidak wajib diketahui oleh setiap orang yang mukallaf, sekiranya telah terdapat individu lain, atau golongan lain yang mana telah mengetahui ilmu yang tergolong dalam ilmu fardhu kifayah tersebut.
ilmu bahagian ini tetaplah wajib diketahui, tapi bukanlah semua mukallaf wajib tahu akan ilmu ini..

berbeza dengan ilmu fardhu ain, setiap individu mukallaf, wajib mengetahuinya tanpa ada sebarang alasan.

allahua'lam~

zakir932 said...

assalamulaikum...
terima kasih di atas penerangan yang benar-benar cukup tercakup dalam bidang syariaat fekah yang luas.

semoga saya mendapat ilmu baik dari tuan

Unknown said...

Ralat pada ejaan:
1) البشار - البشر
2) للعمين - للعالمين
3) عبد الوحيد - عبد الواحد

Harap Maaf diatas kesilapan~

Post a Comment

Perhatian kepada pembaca dan pelawat blog ini sekalian {Segala bahan bacaan yang didapati tidak sesuai dengan kefahaman aqal fikiran para pembaca hendaklah dirujuk kepada ahli kepada ilmu itu supaya mendapat pemahaman yang jelas akan apa yang disampaikan. Sesungguhnya setiap Muslim itu bersaudara, dan saudara sebenar-benarnya tidak akan sampai hati untuk menikam/membidaahkan/menyesatkan saudaranya yang lain semata-mata berlainan fikrah}