Beriman Kepada Pesuruh Allah s.w.t.

Sambungan...


D)                Beriman kepada Pesuruh Allah.
           
Beriman kepada Pesuruh Allah, bermaksud kita mempercayai bahawa terdapat segolongan manusia terpilih yang dilantik Allah sebagai Nabi dan Rasul. Mereka ditugaskan Allah untuk menyampaikan risalahNya berkenaan syari’at, aqidah, dan akhlak. Mereka mengajak manusia kepada mengenal Allah, cinta sesama manusia tanpa mengira pangkat dan kedudukan, menghilangkan kegilaan terhadap dunia yang sementara, mengajak agar beramal demi akhirat yang kekal abadi.
Firman Allah s.w.t.:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah…”.
(Surah Muhammad:33)

Bermula dari Nabi Adam a.s, hinggalah penutup risalah kenabian, iaitu Nabi Muhammad s.a.w, setiap daripada utusan Allah tersebut diutuskan dengan syari’at yang tersendiri yang sesuai dengan suatu zaman tersebut. Sepertimana syari’at Nabi Muhammad s.a.w., walaupun telah 1400 tahun hijrah meninggalkan kita, akan tetapi syari’at Baginda s.a.w. tetap sesuai diadaptasikan dengan zaman yang makin maju ke hadapan dari sudut materialnya. Setiap perbuatan Baginda s.a.w. tetap diikuti oleh hampir segenap muslim bahkan orang kafir, kerana menyedari tingginya akhlak dan perilaku Baginda s.a.w. dalam urusan seharian.
Firman Allah s.w.t.:
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢٨﴾
Maksudnya:
Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”.
(Surah at-Taubah:128)

Berbanding dengan tugas Nabi, Rasul lebih berat tugasan mereka terhadap ummat, iaitu mereka diperintahkan Allah untuk menyampaikan risalah keTuhanan kepada manusia yang jauh daripada Allah, agar dapat mengenal Tuhan yang sebenar, dan beriman denganNya. Sehinggakan kebanyakan daripada Rasul itu, dipinggirkan, dicaci dan sebagainya bahkan ada yang dibunuh semata-mata hanya ingin mengajak manusia kepada Allah. Merekalah contoh kepada setiap manusia, dan mereka berdakwah tanpa berhajat kepada dunia dan perhatian manusia walaupun sedikit.

Adapun syarat-syarat seorang Rasul adalah:-
1)    Lelaki.
2)    Merdeka.
3)    Disampaikan wahyu kepada mereka dan diperintahkan untuk menyampaikan pula kepada manusia.
4)    Maksum.
*Bagi Nabi pula, mereka diberi wahyu oleh Allah, akan tetapi tidak diperintahkan untuk menyampaikan kepada manusia.

Setiap daripada Rasul wajib mempunyai 4 sifat yang mulia ini:-
1)    Siddiq – Berkata benar.
2)    Tabligh – Menyampaikan apa yang diperintahkan.
3)    Amanah – Jujur terhadap tugas yang dipikul.
4)    Fatanah – Cerdik dalam menyampaikan dakwah.

Sifat harus bagi Rasul pula ialah mempunyai sifat kemanusiaan, seperti lapar, berkahwin, tidur dan sebagainya, dengan syarat tidak menjatuhkan martabat seseorang Rasul tersebut.



Bersambung....

No comments:

Post a Comment

Perhatian kepada pembaca dan pelawat blog ini sekalian {Segala bahan bacaan yang didapati tidak sesuai dengan kefahaman aqal fikiran para pembaca hendaklah dirujuk kepada ahli kepada ilmu itu supaya mendapat pemahaman yang jelas akan apa yang disampaikan. Sesungguhnya setiap Muslim itu bersaudara, dan saudara sebenar-benarnya tidak akan sampai hati untuk menikam/membidaahkan/menyesatkan saudaranya yang lain semata-mata berlainan fikrah}