Beriman Kepada Pesuruh Allah s.w.t.(Sambungan 2)

Sambungan...

            Setiap muslim mestilah mengetahui tentang Nabi Muhammad s.a.w. sebagai bukti kita mengikuti ajaran Baginda s.a.w.  Baginda s.a.w. bernama Muhammad ibn ‘Abdullah dan berikut adalah sejarah ringkas berkenaan Baginda s.a.w.:-
Ø Salasilah Baginda s.a.w. daripada sebelah bapa ialah, ‘Abdullah ibn ‘Abdul Mutallib ibn Hasyim ibn Abdul Manaf ibn Kusyai ibn Kilab.
Ø Salasilah Baginda s.a.w. daripada sebelah ibu ialah Siti Aminah binti Wahab ibn ‘Abdul Manaf ibn Zuhrah ibn Kilab.
Ø Baginda s.a.w. dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun gajah.
Ø Bapa Baginda s.a.w. diwafatkan ketika sebelum kelahiran Nabi dan Ibu Baginda s.a.w. wafat ketika Nabi berumur 6 tahun.
Ø Adalah Baginda ketika kecilnya s.a.w. disusui oleh Ibunya s.a.w., selepas itu Aslamiyah Suhaibah, kemudiannya Halimatul Sa’diah sehingga Nabi s.a.w. berumur 4 tahun.
Ø Baginda s.a.w. pernah bermusafir ke Syam(Syria) sebanyak dua kali dalam hidup Baginda.
a)     Yang pertama ketika berumur 9 tahun, Baginda mengikuti datuk Baginda, Abu Talib, sendiri pergi ke Syam untuk berniaga. Dalam perjalanan rombongan Baginda, awan sentiasa meneduhi Baginda daripada cuaca panas terik. Sampainya di tengah perjalanan, iaitu di Busra, seorang rahib(paderi) yang bernama Buhaira menyaksikan peristiwa itu. Beliau adalah seorang paderi yang sentiasa menunggu kelahiran Utusan Terakhir s.a.w. dan sentiasa menjamu rombongan-rombongan yang melalui kawasannya demi mencari Utusan Terakhir s.a.w. tersebut. Sampainya Rombongan Baginda ke gereja itu, rombongan Baginda dijamu dengan pelbagai makanan, akan tetapi Baginda hanya makan sedikit selepas disuruh sendiri oleh Buhaira. Beliau kemudiannya melihat dibelakang Baginda s.a.w. terdapat tanda “Khatamun Nubuwwah” lalu mengetahui bahawa Bagindalah Utusan Allah yang terakhir seperti yang dicatatkan dalam kitab Taurat dan Injil. Lalu beliau memberitahu akan Abu Talib bahawa jangan dibawa Baginda s.a.w. ke Syam kerana disana terdapat golongan rahib yang ingin membunuh akan Baginda s.a.w. Akhirnya rombongan Abu Talib tersebut membatalkan perjalanan mereka ke Syam lalu berpatah kembali ke Makkah demi keselamatan Baginda.
b)    Yang Kedua, ketika Nabi berusia 25 tahun. Baginda ketika itu dilantik sebagai pembantu kepada Sayidatina Khadijah yang menjadi saudagar wanita yang amat kaya di Makkah. Oleh kerana kepercayaan beliau terhadap Baginda s.a.w. yang dikenali penduduk ‘arab dengan gelaran “al-amin”, maka beliau mengutuskan Baginda s.a.w. sambil ditemani oleh Maisarah untuk berniaga di Syam. Apabila pulangnya Baginda s.a.w. ke Makkah, Baginda s.a.w. membawa keuntungan jualan yang amat lumayan.
Ø Selepas dua bulan kepulangan Baginda s.a.w., lalu Sayidatina Khadijah melamar Nabi Muhammad s.a.w. dan bernikah dengan Baginda s.a.w. Walaupun beliau seorang janda dan berumur 40 tahun, akan tetapi beliau mempunyai rupa paras yang amat cantik bagaikan gadis belasan tahun, akhlak yang begitu tinggi, dan kekayaan yang melimpah ruah. Sampainya umur Nabi 40 tahun, Baginda s.a.w. amat gemar untuk berkhalwah(bersendirian) di Gua Hira’ dan sekitar kawasan Makkah untuk beribadat kepada Allah. Nabi kemudiannya mendapat beberapa alamat keNabian yang berupa mimpi, dan akhirnya datanglah Malaikat Jibril menyampaikan wahyu kepada Baginda. Maka bermulalah risalah Baginda s.a.w. menyampaikan ajaran keTauhidan, mendidik masyarakat jahiliyyah dengan akhlak yang agung, menjadikan manusia tinggi martabatnya.
Ø Pada awal dakwah Baginda, Baginda s.a.w. berdakwah secara rahsia, kepada keluarga, sahabat terdekat, dan golongan hamba. Kemudiannya apabila jumlah orang beriman makin meningkat, maka diperintahkan Allah supaya berdakwah secara terang-terangan dan bermula penentangan golongan kafir Quraisy secara kuat terhadap Nabi s.a.w.
Ø Lalu apabila keadaan orang beriman bahaya kerana sentiasa diancam, ditambah pula selepas kewafatan isteri, dan datuk tercinta, Nabi s.a.w. memerintahkan orang beriman supaya berhijrah ke Habsyah. Kemudiannya diperintahkan Allah untuk berhijrah ke Madinah.
Ø Di Madinah, Baginda s.a.w. diangkat menjadi pemimpin, dan memimpin masyarakat Madinah ke arah kemajuan rohani dan jasmani. Kemudian da’wah Baginda s.a.w. berkembang dan berkembang ke seluruh pelusuk Tanah Arab dan berduyung-duyung manusia memeluk Islam yang suci.

v Sepanjang hayat Baginda s.a.w., Baginda mempunyai isteri seramai 12 orang iaitu:-
1)    Sayidatina Khadijah.
2)    Sayidatina Zainab binti Khuzaimah.
3)    Sayidatina ‘Aisyah binti Abu Bakar as-siddiq.
4)    Sayidatina Sa’udah binti Zam’ah.
5)    Sayidatina Hafsah binti Umar al-Khattab.
6)    Sayidatina Maimunah binti al-Harith.
7)    Sayidatina Ummu Habibah binti Abu Sufyan.
8)    Sayidatina Zainab binti Jahsyin.
9)    Sayidatina Ummu Salamah.
10)  Sayidatina Juwariyyah binti al-Harith bin ad-Dhirar.
11)  Sayidatina Safiyyah binti Huyai.
12)  Sayidatina Mariah al-Qibtiyyah.

v Baginda juga mempunyai seramai 7 orang anak, iaitu:-
1)    Sayidina Qassim(dari Siti Khadijah).
2)    Sayidina Ibrahim(dari Mariah al-Qibtiyyah).
3)    Sayidina ‘Abdullah(dari Siti Khadijah).
4)    Sayidatina Zainab(dari Siti Khadijah).
5)    Sayidatina Ruqaiyyah(dari Siti Khadijah).
6)    Sayidatina Ummu Kalsom(dari Siti Khadijah).
7)    Sayidatina Fatimah az-zahrah(dari Siti Khadijah).
                  *kesemua anak lelaki Baginda s.a.w. wafat ketika waktu kecil lagi.

v 10 Sahabat Baginda s.a.w. yang dijanjikan Syurga, iaitu:
1)    Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq R.A.
2)    Sayyidina Umar ibn Khattab R.A.
3)    Sayyidina Uthman ibn ‘Affan R.A.
4)    Sayyidina ‘Ali ibn Abi Talib Karamallahu Wajhah R.A.
5)    Sayyidina Abu Talhah ibn ‘Ubaidillah R.A.
6)    Sayyidina Zubair ibn Awwam R.A.
7)    Sayyidina Sa’ad ibn Abi Waqas R.A.
8)    Sayyidina Sa’id ibn Zaid R.A.
9)    Sayyidina ‘Abdul Rahman ibn ‘Auf R.A.
10)     Sayyidina Amir ibn ‘Abdullah R.A.

Sepanjang dakwah Baginda s.a.w., Baginda juga pernah menyertai peperangan melawan tentera kafir yang jelas menentang dan menolak Islam. Antara peperangan tersebut adalah:-
1)    Perang Badar.
2)    Perang Uhud.
3)    Perang Khandaq.
4)    Perang Hudaibiyyah.
5)    Perang Pembukaan Kota Makkah(satu-satunya peperangan yang tiada setitik darah tumpah ke atas muka bumi).
6)    Perang Tabuk.
*terdapat 35 peperangan lain yang Nabi tidak sertai akan tetapi Nabi melantik para sahabat sebagai panglima perang, kerana dibimbangi kerajaan Islam Madinah digugat oleh kaum Yahudi yang sentiasa merancang kejahatan terhadap Baginda s.a.w.

Firman Allah s.w.t. untuk mengingatkan manusia:
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ عَلَىٰ فَتْرَةٍ مِّنَ الرُّسُلِ أَن تَقُولُوا مَا جَاءَنَا مِن بَشِيرٍ وَلَا نَذِيرٍ ۖ فَقَدْ جَاءَكُم بَشِيرٌ وَنَذِيرٌ ۗ
Maksudnya:
“Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul kami (Muhammad, s.a.w) yang menerangkan kepada kamu (akan syariat Islam) ketika terputusnya (kedatangan) Rasul-rasul (yang diutus), supaya kamu tidak (berdalih) dengan berkata (pada hari kiamat): Tidak datang kepada kami seorang (Rasul) pun pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran (yang mengingatkan kami). Kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang (rasul) pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran…”
(Surah al-Ma’idah: 19)
Allahua’lam bis sowab¬



Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Perhatian kepada pembaca dan pelawat blog ini sekalian {Segala bahan bacaan yang didapati tidak sesuai dengan kefahaman aqal fikiran para pembaca hendaklah dirujuk kepada ahli kepada ilmu itu supaya mendapat pemahaman yang jelas akan apa yang disampaikan. Sesungguhnya setiap Muslim itu bersaudara, dan saudara sebenar-benarnya tidak akan sampai hati untuk menikam/membidaahkan/menyesatkan saudaranya yang lain semata-mata berlainan fikrah}